Search

Makan sepuas hati 7 tan durian percuma

August 25, 2024

Info X Reporters

PUTATAN: Festival Keusahawanan, Kebudayaan dan Jualan Agro Madani di tapak Pasar Malam Peladang, di sini, ‘menghidangkan’ tujuh tan durian percuma kepada pengunjung mulai jam 2 petang ini (Ahad).

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putatan, Datuk Seri Arsit Sedi, berkata program sempena sambutan Bulan Kebangsaan itu adalah inisiatif pihaknya untuk membantu peladang mengatasi lambakan durian.

Katanya, inisiatif itu juga memberi peluang kepada orang ramai, termasuk pelancong dan pengunjung di daerah ini untuk menikmati durian secara percuma sambil memeriahkan festival anjuran PPK Putatan itu.

“Sebanyak tujuh tan durian, termasuk kemungkinan Musang King dan Duri Hitam akan disediakan untuk program makan durian secara percuma kepada pengunjung bermula jam 2 petang hingga larut malam.

“Sehubungan itu, kita mempelawa orang ramai untuk datang ke festival ini bersama rakan dan keluarga untuk menikmati durian dan mengunjungi gerai jualan yang ada sempena festival ini,” katanya ditemui selepas pelancaran festival berkenaan, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri Sabah, Azrul Ibrahim dan Pengerusi Pelaksana Festival, Mohd Isquzawan Israq Arsit.

Bagaimanapun, durian percuma hanya untuk dimakan di tapak festival dan tidak dibenarkan dibawa balik.

Sementara itu, Arsit berkata festival berkenaan yang kali kedua dianjurkan PPK Putatan menghimpunkan seramai 60 usahawan muda yang bergiat aktif dalam bidang keusahawanan di daerah ini.

Pada majlis itu, usahawan muda terbabit turut menerima bantuan daripada kerajaan negeri menerusi Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) sebagai galakan untuk mengembangkan lagi perniagaan masing-masing.

Festival berkenaan turut dimeriahkan dengan pertandingan Betitik, selain jualan pelbagai produk usahawan tempatan, gerai makanan dan minuman serta penyampaian bantuan kepada mangsa banjir. – Info X