Search

Pelancong tersesat ketika hiking diselamat bomba

August 24, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang pelancong wanita warga Perancis diselamatkan selepas tersesat ketika melakukan aktiviti mendaki ‘hiking’ di Sandakan Rain Forest Tshun Ngen, Batu 5, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, bomba menerima panggilan jam 6.40 petang sebelum menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, mangsa berusia 27 tahun itu tersasar dari laluan hiking lalu tersesat kerana keadaan gelap menyukarkan mangsa untuk mencari laluan keluar.

“Seramai enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Syamzari Ganih menjalankan pencarian di sekitar kawasan mangsa sesat.

“Mangsa berjaya ditemui pasukan bomba di sekitar kawasan hutan berhampiran dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa seterusnya dibawa keluar dari kawasan berkenaan ke kawasan selamat.

“Operasi kemudian ditamatkan pada jam 7.07 malam,” katanya. – Info X