Search

Makanan dibeli bapa disyaki punca keracunan makanan

July 29, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Makanan dibeli bapa kepada kanak-kanak 10 tahun yang dilaporkan meninggal dunia akibat keracunan makanan di Sandakan pada 25 Julai lalu disyaki punca mangsa mengalami gejala cirit-birit.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Asits Sanna, berkata siasatan pihaknya mendapati kanak-kanak terbabit bersama ibunya ada sejarah memakan makanan yang sama.

Menerusi satu kenyataan malam ini, beliau bagaimanapun berkata sejarah lengkap pergerakan dan pendedahan kes kepada makanan serta punca kematian mangsa masih dalam siasatan.

Beliau berkata, sampel makanan terbabit dan persekitaran juga sudah diambil bagi menentusahkan punca kejadian.

“Kes kematian ini membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dengan sejarah memakan makanan yang dibeli oleh bapanya pada 23 Julai 2024.

“Kanak-kanak itu mengalami gejala cirit-birit, demam dan hilang selera makan. Kemudian pada 24 Julai, kanak-kanak itu mengalami sawan dan dibawa oleh ahli keluarga ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Rawatan kecemasan seterusnya diberikan kerana dia didapati berada dalam keadaan tidak sedarkan diri serta memerlukan bantuan pernafasan. Kanak-kanak itu dimasukkan ke Wad Perubatan Pediatrik sebelum disahkan meninggal dunia.

“Maklumat awal yang diperolehi menyatakan bahawa ibu kanak- kanak itu juga ada memakan makanan berkenaan dan mengalami gejala yang sama serta diberi rawatan di Wad Perubatan Perempuan Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan,” katanya.

Kelmarin, seorang kanak-kanak sebuah sekolah di Sandakan dilaporkan meninggal dunia akibat keracunan makanan, dipercayai berlaku di rumahnya.

Kematian kanak-kanak terbabit dimaklumkan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berdasarkan perkongsian maklumat keluarga kanak-kanak terbabit dan guru kelasnya.

Mangsa, Mohd Mifzal Anaqi Muhammad Rizal, 10, sebelum ini dilaporkan tidak dapat datang ke sekolah pada 23 Julai lalu kerana keracunan makanan sebelum dimaklunkan tidak sedarkan diri sehari selepas itu dan meninggal dunia pada 25 Julai lalu.

Dr Asists berkata, keracunan makanan dipercayai berlaku akibat pengambilan makanan atau minuman yang tercemar dan menasihatkan orang ramai supaya mengambil berat soal pengambilan makanan.

“Jabatan Kesihatan juga ingin menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala keracunan makanan,” katanya. – Info X