Search

Alexander tidak tutup mata isu jalan macam di bulan

July 28, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan komitmen kementeriannya dalam mengatasi isu kerosakan jalan persekutuan di Sabah yang disifatkan seperti di ‘bulan’.

Katanya, beliau tidak menutup mata terhadap isu itu, sebaliknya datang sendiri melihat keadaan sebenar jalan raya di Sabah seperti yang kerap ditularkan.

“Kalau sebut jalan raya ‘seperti di bulan’, yang paling kerap ditularkan adalah jalan raya di Sabah.

“Rakan-rakan Ahli Parlimen dari Sabah juga ada yang datang sendiri kepada saya melaporkan perkara yang sama.

“Saya tidak tutup mata, hari ini saya turun ke Tawau untuk meninjau antara lokasi yang sering dibawa ke perhatian saya,” katanya dalam perkongsian di Facebooknya sempena tinjauan keadaan jalan raya di Tawau, hari ini.

Alexander ketika ditemui media sempena tinjauan keadaan jalan raya di Tawau.

Katanya, Jalan Persekutuan R13 Jalan Sandakan – Tawau iaitu laluan ke Lapangan Terbang Tawau yang mengalami kerosakan struktur jalan dan pembetung adalah antara lokasi yang berdepan masalah.

Jelasnya, di Seksyen 249.77 sepanjang 0.55 kilometer di laluan berkenaan, beliau melihat sendiri kerosakan struktur jalan yang memerlukan pembaikan segera.

“Saya telah meluluskan peruntukan RM1 juta bagi pelaksanaan kerja ini.

“Lokasi kedua pula iaitu di Seksyen 256.295 laluan sama, kegagalan pembetung telah menyebabkan satu laluan terpaksa ditutup.

Alexander (kiri) meninjau sendiri kerosakan Jalan Persekutuan yang menjejaskan pengguna jalan raya di Tawau.

“Peruntukan sebanyak RM1.506 juta telah diluluskan bagi kerja pembaikan di lokasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, bagi tahun 2024, Kementerian Kerja Raya (KKR) meluluskan peruntukan sebanyak RM130 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan Berkala Pavemen dan Bukan Pavemen Jalan Persekutuan di Negeri Sabah setakat ini.

Daripada jumlah itu, katanya sebanyak RM9.979 juta diperuntukkan kepada Daerah Tawau.

Keadaan kerosakan Jalan Persekutuan yang menjejaskan pengguna jalan raya di Tawau.

“Saya memahami, banyak lagi lokasi di sini yang memerlukan tindakan segera.

“Saya dan seluruh pasukan KKR mencuba sebaik mungkin untuk mempertingkatkan mutu jalan raya persekutuan bersandarkan peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat.

“Pada masa yang sama, saya tekankan kepada konsesi penyelenggaraan untuk mengekalkan momentum pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya dengan mutu, kos dan masa yang terjamin,” katanya.

Beliau menegaskab, ia adalah komitmen Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani dalam menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat selari Program MYJalan. – Info X