Search

Warga emas dikhuatiri lemas selepas keluar mencari pucuk nipah

July 28, 2024

Info X Reporters

BELURAN: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mencari pucuk nipah di muara sungai Kampung Air, di sini, hari ini.

Mangsa Damat Anggah, 80, dikatakan keluar menaiki perahu untuk mencari pucuk nipah kira-kira 1.5 kilometer ke lokasi dari Jeti Kampung Air.

Kira-kira jam 11 lagi yang yang sama, penduduk kampung yang melalui kawasan lokasi mangsa berada melaporkan kepada keluarga bahawa mangsa tidak berada di atas perahu.

Susulan itu, pada jam 3 petang, anak mangsa pergi membuat pemantauan bersama seorang rakannya dan hanya menemui topi milik bapanya berdekatan dengan perahu mangsa.

Pencarian kemudian dilakukan oleh orang kampung sebelum membuat panggilan kecemasan 999 bagi bantuan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.51 petang.

Katanya, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi SAR.

“Setiba di lokasi, operasi pencarian dijalankan berhampiran bot mangsa di tepi sungai dengan kaedah surface water rescue menggunakan bot orang kampung.

“Mangsa belum ditemui dan operasi SAR ditangguhkan jam 6.45 petang tadi dan akan disambung esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X