Search

Mangsa banjir di Telupid, Paitan meningkat

February 27, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mangsa banjir yang dipindahkan di daerah Telupid dan Paitan meningkat kepada 318 orang setakat jam 4 petang ini, berbanding 262 mangsa pagi tadi.

Semua mangsa yang merangkumi 96 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS), masing-masing lima di Telupid dan dua di Paitan.

Daripada 318 mangsa yang dipindahkan itu, seramai 285 adalah di Telupid, manakala 33 lagi di Paitan.

Berdasarkan maklumat dikongsikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), mangsa di kedua-dua daerah itu dijangka terus meningkat.

Pembukaan semula PPS di Telupid dan Paitan diisytiharkan pegawai daerah masing-masing pada Rabu berikutan banjir di beberapa kawasan.

Operasi pemindahan mangsa banjir menggunakan bot Amphibious Sealeg di Telupid.

Banjir disebabkan hujan lebat berterusan di kawasan terbabit sejak kelmarin.

Ia kejadian banjir kedua berlaku di kedua-dua daerah terbabit selepas kejadian pertama pada akhir Januari lalu. – Info X