KOTA KINABALU: Satu Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah akan diwujudkan jika kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kembali membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 pada 29 November ini.
Dana itu adalah antara kandungan Manifesto PRU Sabah Ke-17 yang dibentangkan Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali pada Pelancaran Manifesto GRS yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Isnin.
Manifesto itu adalah antara empat perkara yang digariskan di bawah Rukun Kedua iaitu Sabah Forward atau Sabah Ke Hadapan.
Dana berkenaan yang digariskan sebagi perkara kedua di bawah Sabah Forward akan diwujudkan melalui suntikan modal permulaan daripada rizab negeri dan tambahan tahunan daripada hak Pemberian Khas (Special Grant) 40 peratus.
Perkara pertama di bawah Sabah Forward pula menekankan usaha GRS memperkukuhkan sumber ekonomi melalui penerokaan kepelbagaian khazanah seperti potensi Ekonomi Digital dan Pemerdagangan Kredit Karbon.
Seterusnya, perkara ketiga menggariskan usaha meningkatkan pelaburan asing dan domestik serta meneroka peluang serta potensi ekonomi Sabah di peringkat antarabangsa.
Kemudian, perkara keempat adalah memacu penyertaan bermakna, kebolehpasaran dan pendapatan bermaruah (decent income) anak Sabah dalam pelbagai sektor ekonomi dan pekerjaan melalui agenda pembangunan modal insan untuk mempertingkat sosioekonomi rakyat. – Info X