Search

MARA GESA USAHAWAN SABAH PERGIAT GUNA PRODUK TEMPATAN JANA EKONOMI

July 7, 2022

admin

KOTA BELUD: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azizah Mohd Dun mengajak semua usahawan serta peniaga di negeri ini menjadikan produk keluaran tempatan sebagai tarikan utama perniagaan dalam menjana ekonomi masing-masing.

“Rebut peluang untuk tingkatkan ekonomi diri dan keluarga dengan menggunakan produk-produk tempatan yang dihasilkan di kawasan sekitar kita.

“Misalnya di kawasan daerah ini, banyak produk tempatan Kota Belud yang laris dan sentiasa mendapat sambutan sekali gus memberi sumber pendapatan lumayan kepada peniaga dan usahawan.

“Antaranya sambal ikan masin, ikan liking dan kuih penjaram selain produk bukan makanan seperti parang, hasil kraftangan serta kuda padi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Perasmian Program Outreach Bina Niaga Luar Bandar di Dewan Mini Restoran Pencarian Bersama, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azizah menyatakan usahawan dan peniaga tempatan khasnya di kawasan luar bandar perlu berani untuk mengambil peluang bagi menarik perhatian pengguna serta pembeli melalui teknologi.

“Walaupun kita usahawan dan peniaga yang berada di kawasan luar bandar namun dengan adanya kelebihan teknologi, tidak mustahil jualan kita mampu menembusi pasaran luar.

“Usahawan di Kota Belud boleh menjadikan platform dalam talian sebagai satu cabang untuk meluaskan perniagaan dengan membuat promosi perniagaan dengan lebih giat,” katanya.

Sementara itu, Azizah turut memaklumkan pihak MARA juga sudah mengenalpasti permasalahan utama yang dihadapi oleh usahawan setempat.

“Kita dapati usahawan tempatan kita mempunyai produk yang boleh dikomersialkan.

“MARA juga sudah memperkenal program pendigitalan sebagai pendekatan untuk memajukan perniagaan melalui platform digital.

“Antaranya ialah Digitalbiz, program Bussiness Enrichment Standardization & Transformation (BEST), program PENJANA Bespoke dan PENJANA E-commerce yang akan membantu mengatasi masalah yang sudah dikenalpasti tersebut,” katanya. – Info X