KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud berkata, adalah lebih baik sesi dialog diadakan antara penduduk dengan pihak berwajib berhubung masalah air di Sepanggar berbanding mengadakan demonstrasi.
Beliau turut menyeru kepada kumpulan yang ingin berdemonstrasi di pejabat Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) agar dapat mengutarakan masalah mereka mengikut saluran yang betul.
“Isu sebenar krisis air di Sepanggar terutamanya adalah ketidakcukupan sumber air daripada loji Telibong dan Moyog di mana kedua-dua loji air berkenaan sedang beroperasi melebihi had yang sepatutnya.
“Projek penambahan bekalan air yang dikenali sebagai Telibong 2 yang sedang dalam perlaksanaan terlewat dari jadual asal dan perlu disiapkan segera untuk menambah bekalan sumber air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mustapha turut menyarankan kepada pihak yang ingin membuat demonstrasi agar berunding secara baik dengan JANS dan mendengar taklimat berkenaan isu air berkenaan.
“Akhirnya saya sekali lagi merayu agar sesi dialog dibuat supaya semua pihak memahami isu sebenar dan punca kelewatan projek berkenaan,” katanya. – Info X