TAWAU: Mayat seorang bayi ditemui yang dipercayai dibunuh dengan kejam ditemui tersadai di tepi laut di Tanjung Batu Logpond, di sini, semalam.
Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat itu ditemui pada jam 4.43 petang di dalam sebuah beg yang turut diisi seketul batu dipercayai untuk ditenggelamkan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Husin berkata, mayat bayi terbabit ditemui seorang wanita bersama tunangnya berhampiran sebuah jeti di kampung berkenaan.
Katanya, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota dan pegawai polis terus dikerah ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
“Hasil pemeriksaan awal, pasukan paramedik Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan yang ditemui adalah bayi seberat kira-kira satu kilogram.
“Turut ditemui di dalam beg berkenaan adalah seketul batu seberat lebih 1 kilogram yang dibalut bersama bayi terbabit dipercayai untuk menenggelamkan beg berkenaan ke dasar laut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Jasmin berkata, polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes terbabit bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menularkan maklumat tidak sahih kepada umum kerana ia dibimbangi akan mengganggu siasatan polis.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan secara terus kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Tawau ditalian 089-752222,” katanya. – Info X