Search

ONCAR.MY SERAGAMKAN HARGA KENDERAAN TERPAKAI DI SABAH – SEMENANJUNG

June 9, 2022

admin

KOTA KINABALU: Pendekatan syarikat penjualan kereta terpakai dalam talian, ONCAR.MY yang menyeragamkan harga kereta terpakai di Sabah dan Semenanjung dilihat antara inisiatif membantu rakyat di negeri memiliki kenderaan sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe berkata, kebanyakkan kereta yang dijual di Sabah sama ada baharu atau terpakai ketika ini adalah lebih mahal berbanding di Semenanjung.

“Saya berpendapat ia suatu langkah yang perlu disokong kerana penyeragaman harga membolehkan rakyat di negeri ini mendapat tawaran harga kereta terpakai sama rata seperti harga di Semenanjung.

“Ini adalah salah satu usaha yang baik kerana kita semua tahu ramai penduduk di negeri ini terpaksa untuk memiliki kereta dengan harga yang lebih tinggi.

“Kita berharap menerusi penyeragaman ini dapat membantu lebih ramai individu atau keluarga di Sabah mampu memiliki kenderaan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan ONCAR.MY Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengurus Besar ONCAR Sdn Bhd, Kevin Neon.

Sementara itu, Kevin menyatakan menerusi pembukaan cawangan ONCAR.MY di Sabah mampu mengurangkan kos-kos tertentu sekaligus membantu pelanggan memperoleh kenderaan pada harga lebih murah berbanding syarikat penjualan kereta terpakai yang lain.

“Kita sebelum ini beroperasi di Semenanjung dan hanya menjual kereta kepada pengedar di Sabah.

“Namun menyedari ekonomi masa kini kurang bagus dan harga akhir terlalu tinggi ekoran lapisan perniagaan yang banyak, kita mengambil inisiatif membuka cawangan di Sabah agar pelanggan mampu mendapat harga kereta berpatutan daripada sebelumnya.

“Selain itu, syarikat kita juga menawarkan jaminan selama setahun bagi setiap kenderaan yang dibeli oleh pelanggan,” katanya. – Info X