Search

Mayat kanak-kanak ditemui dalam parit

December 10, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Mayat seorang kanak-kanak lelaki ditemukan di dalam sebuah parit di Taman Ria 9, di sini, semalam.

Kejadian itu mula tersebar di media sosial selepas satu rakaman video berdurasi 21 saat dimuat naik ke Facebook kira-kira jam 2.30 petang, memaparkan penemuan mayat berkenaan oleh orang awam kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum dimaklumkan kepada polis.

Turut tersebar di aplikasi WhatsApp, satu pesanan suara berdurasi 44 saat yang mendakwa mayat berkenaan adalah seorang kanak-kanak dikenali sebagai Yus, berusia sembilan tahun dan tinggal di Taman Ria 5.

Mayat berkenaan dibawa ke Hospital Tawau untuk proses pengecaman dan bedah siasat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

“Setakat ini, polis masih belum mengenal pasti identiti mayat kanak-kanak tersebut. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Champin turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan. – Info X