TAWAU: Taktik seorang lelaki dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di atas siling sebuah rumah bagi meloloskan diri tidak menjadi apabila dia berjaya dikesan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.
Kejadian itu berlaku dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan semalam, apabila anggota penguat kuasa menemui lelaki berkenaan bersembunyi dalam ruang sempit siling sebelum mengarahkannya turun sebelum ditahan.
Menurut JIM Sabah melalui kenyataan rasmi di Facebook hari ini, operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan selama lebih seminggu dan aduan awam di beberapa lokasi berasingan sekitar Tawau.

“Seramai 26 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Tawau terlibat, dengan pemeriksaan dibuat terhadap 97 individu.
“Daripada jumlah itu, 64 ditahan membabitkan warga Filipina dan Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah atau pas kebenaran tinggal,” kata kenyataan itu.
Katanya lagi, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM Sabah menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI.

Agensi itu turut menggesa masyarakat terus menyalurkan maklumat mengenai kehadiran warga asing tanpa izin demi keselamatan dan ketenteraman negeri. – Info X