TAWAU: Mayat seorang wanita dipercayai berusia lingkungan 30-an ditemukan terapung di sebuah tasik di Kem Pengakap Tiku, Jalan Sin Onn, di sini, pagi tadi.
Mayat berkenaan ditemui orang awam sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak berkuasa pada jam 9.45 pagi.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba II Jemishin Ujin berkata, sepasukan enam anggota bomba yang dikejarkan ke lokasi mendapati mangsa masih berada di dalam tasik sebaik tiba.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mengangkat mangsa ke darat untuk pemeriksaan lanjut oleh petugas kesihatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi ditamat sepenuhnya pada jam 10.48 pagi. – Info X