Search

Syarikat pengangkutan darat barangan, awam perlu daftar SKDS untuk dapat subsidi diesel

June 15, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Syarikat sektor pengangkutan darat barangan dan awam di Sabah, Sarawak dan Labuan digesa mendaftar segera dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata langkah itu perlu bagi memastikan mereka menerima fleet card untuk kenderaan berdaftar bagi membeli diesel pada harga subsidi.

Katanya pendaftaran melalui SKDS membolehkan syarikat yang berkelayakan terus mendapat manfaat subsidi diesel melalui mekanisme fleet card pada kadar RM2.15 seliter bagi sektor pengangkutan darat barangan dan RM1.88 seliter bagi sektor pengangkutan darat awam.

“Penggunaan wajib fleet card SKDS untuk mendapat manfaat subsidi diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan dan awam akan dikuatkuasakan pada satu masa yang akan diumumkan.

“Sehubungan itu, syarikat-syarikat bagi kedua-dua sektor ini adalah digesa untuk membuat pendaftaran SKDS pada kadar segera.

“Ini adalah penting untuk membolehkan kenderaan syarikat yang tersenarai di bawah 33 jenis kenderaan yang layak didaftarkan di bawah SKDS terus boleh menerima subsidi diesel,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Fleet Card SmartPay PETRONAS kepada syarikat pengangkutan darat barangan yang lulus pendaftaran SKDS di Kepayan, di sini, pada Isnin.

Katanya, pendaftaran bagi permohonan menyertai SKDS untuk pelaksanaan penyaluran subsidi bahan api diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 4 Mei lalu.

Penyaluran subsidi bahan api bagi sektor pengangkutan darat awam pula, katanya sudah dibuka sejak Jun 2024.

Beliau berkata, setakat 14 Jun 2026, sebanyak 14,415 kenderaan milik 3,922 syarikat sudah berdaftar dengan SKDS, manakala 14,447 kenderaan dengan 3,869 syarikat di Sarawak, diikuti 769 kenderaan membabitkan 269 syarikat di Labuan.

“Senarai jenis kenderaan dan permohonan pendaftaran menyertai SKDS boleh dirujuk melalui portal MySubsidi di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.

“Peluasan SKDS adalah pendekatan untuk menangani isu ketirisan subsidi bahan api diesel melalui mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan secara digital.

“Mekanisme penggunaan fleet card dalam pelaksanaan SKDS ini adalah untuk memastikan subsidi dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan sasar.

“Ini sekali gus mengekang ketirisan subsidi diesel sama ada melalui aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan penyalahgunaan subsidi oleh warga asing dan pendatang tanpa izin,” katanya.

Sementara itu, katanya bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan membelanjakan sebanyak RM2 bilion setahun untuk subsidi diesel pada tahun lalu.

Katanya, bagi 2026, subsidi diesel yang ditanggung kerajaan terus meningkat akibat krisis tenaga susulan konflik Asia Barat.

“Pada dua bulan pertama 2026 iaitu sebelum tercetusnya konflik, subsidi diesel yang dibelanjakan untuk Sabah dan Sarawak ialah RM103 juta bagi Januari dan RM106 juta pada Februari.

“Namun, sejak bermulanya konflik pada 28 Februari 2026, implikasi subsidi diesel bagi kedua-dua wilayah mencecah RM563 juta pada Mac dan RM647 juta bagi April.

“Jumlah keseluruhan subsidi diesel untuk tempoh empat bulan pertama hingga April 2026 mencecah RM1.4 bilion,” katanya.

Armizan berkata, kerajaan akan terus menanggung lonjakan bil subsidi bahan api selagi harga minyak dunia masih pada tahap yang tinggi dan krisis tenaga berlarutan.

“Kerajaan komited untuk terus menyalurkan subsidi diesel kepada rakyat dan industri secara bersasar sebagai langkah intervensi dan mitigasi bagi menangani isu kenaikan kos sara hidup dan pergerakan harga barangan serta perkhidmatan.

“Pada masa yang sama, penyaluran subdisi secara bersasar perlu dilaksanakan sebagai mekanisme pengurusan risiko ketirisan, selain meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan,” katanya. – Info C