TAWAU: Seorang mekanik cedera selepas kaki kirinya dilastik menggunakan besi halus hingga menembusi anggota badan itu dalam kejadian di Kampung Kongsi 8, di sini, 3 Februari lalu.
Kejadian berlaku pada jam 9.24 malam selepas mangsa enggan membaiki motosikal seorang lelaki kerana tidak dibayar upah.
Difahamkan, mangsa dihubungi suspek untuk datang membaiki motosikal di rumahnya.
Setibanya di lokasi, suspek meminta mangsa terus melakukan pembaikan tanpa membayar upah terlebih dahulu.
Mangsa menolak, menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum suspek bertindak agresif dengan menggunakan besi halus melastik kaki kiri mangsa sehingga menembusi anggota badan itu.
Mangsa yang menahan kesakitan kemudian dibawa ke hospital oleh suspek dan terpaksa menjalani pembedahan akibat kecederaan serius.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kes mendatangkan cedera menggunakan senjata dan ugutan jenayah.
“Susulan laporan diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun di kawasan sama kejadian berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau melibatkan pelbagai jenayah dan dadah serta pernah ditahan dan dijatuhi hukuman sebelum ini.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera menggunakan senjata serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. – Info X