Search

SEC, PETRONAS meterai perjanjian bangunkan sumber gas Kluster Mutiara di perairan Sandakan

February 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) pada Isnin mengumumkan pertukaran Heads of Agreement (HoA) dengan PETRONAS bagi pembangunan Kluster Mutiara, iaitu sumber gas luar pesisir strategik yang terletak di perairan luar Sandakan.

SEC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Adzmir Abd Rahman, manakala PETRONAS diwakili Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Hidrokarbon Bersepadu, PETRONAS, Ziaril Faiz Zakaria.

Majlis pertukaran perjanjian itu yang diadakan di Kuala Lumpur disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong; Pengerusi SEC, Datuk Annuar Ayub dan Naib Presiden Kanan, Malaysia Petroleum Management (MPM), Datuk Bacho Pilong.

Menerusi satu kenyataan, SEC menjelaskan HoA itu menetapkan rangka kerja komersial dan kerjasama ke arah perjanjian jual beli gas pada masa hadapan, bagi menyokong pembangunan serta pengewangan sumber gas dari Kluster Mutiara untuk memenuhi keperluan tenaga jangka panjang Sabah.

Dengan sasaran pengeluaran gas pertama pada awal 2029, Kluster Mutiara dijangka memainkan peranan penting dalam merombak landskap bekalan tenaga di negeri ini.

Ketika ini, gas asli menjana 86 peratus keperluan tenaga elektrik Sabah, namun tumpuan bekalan itu lebih terarah ke Pantai Barat, manakala Pantai Timur bergantung kepada penghantaran gas petroleum cecair (LNG) berskala kecil.

Pembangunan Kluster Mutiara bertujuan menangani ketidakseimbangan itu dengan membolehkan bekalan gas yang berskala, boleh dipercayai dan sesuai untuk kegunaan industri ke Pantai Timur, sekali gus menyokong keselamatan tenaga, aktiviti ekonomi dan pembangunan industri hiliran di Sandakan serta kawasan sekitarnya.

Menurut SEC, di samping pembangunan infrastruktur, HoA itu turut mencerminkan komitmen bersama SEC dan PETRONAS untuk memperkukuh kerjasama dalam membuka potensi sumber gas tempatan Sabah secara bertanggungjawab, di samping menyokong pasaran tenaga negeri yang lebih seimbang dan berdaya tahan.

Jelas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu, pembangunan Kluster Mutiara juga selari dengan agenda pembangunan SMJ 2.0 dan dijangka menyumbang kepada pelaburan berterusan, penciptaan peluang pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang negeri. – Info X