Search

Memandu mabuk, tiada lesen, wanita didenda RM10,400

December 6, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM10,400 terhadap seorang wanita selepas dia mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk dan tanpa lesen.

Yapp Siao Fong, 38, dikenakan hukuman denda RM10,000 kerana memandu dalam keadaan mabuk dan RM400 kerana memandu tanpa lesen oleh Majistret Dayang Aidaku selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Mahkamah juga turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. 

Mengikut kertas pertuduhan, Yapp didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Chong Thien Vun, di sini, kira-kira jam 12.40 tengah malam, 28 Oktober lepas.

Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah semua tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Dayang Aidaku turut memberikan hukuman penjara selama empat hari terhadap tertuduh dan tidak layak mengambil lesen memandu selama dua tahun.

Selain itu, tertuduh juga dikenakan denda RM400 kerana didapati memandu tanpa lesen mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 26(2) akta yang sama.

Kesalahan itu, boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara selama tempoh tiga bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Joan Lee dalam hujahnya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang tinggi sebagai kesedaran pemandu mabuk agar tidak mementingkan diri sendiri.

“Hukuman berat itu mengambil kira kepentingan awam dan mencegah daripada berlakunya kemalangan jalan raya akibat pemandu dibawah pengaruh alkohol.

“Kes mabuk di Tawau juga semakin meningkat, oleh itu hukuman yang lebih tinggi dapat memberi kesedaran serta peringatan kepada tertuduh dan pemandu lain,” katanya. – Info X