Search

Lori bawa minyak sawit terbabas, pemandu cedera

December 6, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang pemandu lori yang membawa muatan minyak sawit cedera apabila kenderaan itu terbabas lalu masuk ke dalam parit di Jalan Tawau – Kalabakan, Felda Umas-Umas, di sini, pagi tadi.

Mangsa lelaki berusia 69 tahun yang cedera dihantar ke Hospital Tawau oleh orang awam sebelum ketibaan jentera bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.18 pagi.

Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah lori yang membawa muatan minyak sawit dipercayai terbabas sendiri dan masuk ke dalam parit.

“Seorang mangsa berusia 60 tahun mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Tawau oleh orang awam sebelum ketibaan jentera bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba mendapati terdapat tumpahan minyak sawit di atas jalan raya akibat kemalangan itu.

“Kita bertindak membersihkan sisa minyak sawit berkenaan dengan menggunakan buih dan pasir bagi mengelakkan kereta awam tergelincir.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kemalangan selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.09 pagi,” katanya. Info X