TAWAU: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman denda RM10,000, masing-masing terhadap tiga lelaki termasuk seorang warga asing, selepas mereka mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk, baru-baru ini.
Semua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin, hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, Zohan Zainal, 44, dan Adi Padri, 35, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sim Hwa Seng, pada jam 12.20 tengah malam hingga 1.05 pagi, 24 September lalu.
Manakala, Syed Ali Bakar Syed Sheh Alkaf, 32, didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada 23 Julai lalu di Jalan Sim Hwa Seng, kira-kira jam 12.40 tengah malam.
Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah ketiga-tiga tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.
Kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Joan Lee dalam hujahnya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang tinggi sebagai kesedaran pemandu mabuk agar tidak mementingkan diri sendiri.
“Hukuman berat itu mengambil kira kepentingan awam dan mencegah daripada berlakunya kemalangan jalan raya akibat pemandu dibawah pengaruh alkohol.
“Kes mabuk di Tawau juga semakin meningkat, oleh itu hukuman yang lebih tinggi dapat memberi kesedaran serta peringatan kepada tertuduh dan pemandu lain,” katanya.
Dayang Aidaku Amira kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 dan penjara empat hari terhadap semua tertuduh terbabit.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara empat bulan jika gagal membayar denda dan lesen memandunya digantung selama dua tahun.
Sementara itu, Adi Padri yang juga warganegara asing akan dirujuk ke Pejabat Imigresen Tawau selepas menjalani hukuman berkenaan. – Info X