Search

Pembudayaan inovasi pupuk pemikiran kreatif, tingkat produktiviti – Hui Ying

October 4, 2023

Info X Reporters

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, inovasi dapat memupuk pemikiran yang kreatif dan meningkatkan produktiviti kerja dalam sesebuah organisasi.

Katanya, inovasi boleh ditakrifkan sebagai penciptaan serta implementasi sama ada berbentuk proses, produk, perkhidmatan atau kaedah penyampaian baharu yang berupaya memberi peningkatan signifikan  terhadap hasil, kecekapan, keberkesanan atau kualiti.

Beliau berkata, inovasi juga amat sinonim dengan konsep modenisasi dan dua konsep berkenaan mempunyai hala tuju hampir sama yakni melaksanakan pembaharuan yang dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada masyarakat.

“Pembaharuan bermaksud proses mengubah suai sesuatu objek atau projek yang dilakukan untuk meningkatkan prestasi atau menjadikannya lebih baik.

“Oleh itu, janganlah kita takut untuk berubah atau takut kepada perubahan. Kita mungkin kehilangan sesuatu yang baik, akan tetapi pastinya akan memperoleh sesuatu yang lebih baik daripada yang sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis Hari Inovasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP, di sini, hari ini.

Barisan penerima anugerah sempena Inovasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hui Ying berkata, bagi mendepani cabaran pendigitalan, DBP perlu melaksanakan transformasi igital yang melibatkan proses inovasi alam penghasilan produk dan perkhidmatan.

Katanya, DBP juga perlu memahami dan menempuh era Revolusi Industri 4.0 dengan penuh kesedaran, keterbukaan, keterujaan dan yang paling penting adalah kesediaan.

Sementara itu, beliau berkata, pemberian pelbagai anugerah kepada karyawan DBP bertujuan untuk mengiktiraf sumbangan, idea dan tenaga mereka sama ada secara individu ataupun secara berpasukan.

Katanya, pengiktirafan ini diharapkan dapat menaikkan semangat kepada penerima dan juga hadirin di majlis itu.

Pengasas bersama dan pengarah Ooga X, Fui K Soong dan Rita Sim turut hadir menerima anugerah pada majlis itu.

“Saya berharap Anugerah Citra Sahabat dapat diteruskan pada setiap tahun. Hal ini amat penting kerana sinergi dan kerjasama dengan pelbagai agensi merupakan idea pintar oleh sesebuah organisasi.

“Pengiktirafan boleh diberikan dengan pelaksanaan beberapa program khusus di organisasi rakan sinergi DBP bagi mengekalkan “keakraban” dengan organisasi tersebut,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Dr Hamzami Jahari dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah pada hari ini.

Katanya, antara anugerah yang diberikan ialah Anugerah Karyawan Inovatif, Anugerah Inovasi Ketua Pengarah, Anugerah Citra Program, Anugerah Citra Karya, Hadiah Tema Inovasi dan juga Anugerah Citra Sahabat DBP.

“Hari Inovasi DBP ini diadakan bertujuan memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada usaha dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh warga kerja DBP yang telah menghasilkan kreativiti dan inovasi serta rakan sinergi DBP yang telah sama-sama menyebarluaskan dan memartabatkan bahasa Melayu,” katanya. – Info X