Search

Universiti perlu lahir graduan berdaya saing, berinovasi

October 3, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pihak universiti perlu memberi tumpuan terhadap persekitaran pendidikan tinggi yang mampu menjadi pusat ilmu unggul dan menghasilkan graduan berdaya saing serta berinovasi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir untuk negara dan antarabangsa.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkara itu selaras dengan tumpuan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang antara lain menggariskan pembangunan bakat masa hadapan menerusi peningkatan kualiti pendidikan.

Beliau berkata, aspek itu penting bagi memastikan graduan yang dihasilkan universiti dapat memenuhi standard tenaga kerja yang diperlukan pasaran kerja, terutama oleh sektor industri.

Katanya, atas sebab itu, pihak institusi pengajian tinggi (IPT) di Sabah digalakkan untuk memperkukuh kerjasama dengan pemain industri dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.

“Kerajaan negeri mengamalkan pendekatan mesra pelabur, jadi kita amat memerlukan graduan yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk memenuhi permintaan pihak industri di Sabah.

“Sehubungan itu, saya berharap agar Universiti Malaysia Sabah (UMS), khususnya dapat menjadi universiti yang mampu mengeluarkan graduan yang diperlukan sektor industru,” katanya pada Majlis Ikrar dan Aku Janji pelajar baharu UMS sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2023 / 2024 Kali Ke-29 di UMS Kampus Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansur.

Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri terus komited dan sentiasa memberi kerjasama kepada UMS dalam membantu usaha ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara.

Katanya, ia selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan sebagai teras utama dalam memulihkan semula ekonomi, termasuk pembangunan modal insan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sentiasa komited untuk memperkasa pembangunan pendidikan dan infrastrukturnya dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti.

“Ini kerana dengan pendidikan yang baik, ia berupaya mengubah kualiti hidup rakyat yang akhirnya menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan negara khususnya di Sabah.

“Kita tidak mahu ada yang terpinggir daripada menerima pendidikan di negeri ini. Justeru, kerajaan negeri mengambil pelbagai inisiatif dalam membantu anak Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Hajiji yang juga Pro Canselor UMS, berkata beliau mahu melihat UMS sentiasa dekat di hati masyarakat melalui inisiatif universiti untuk masyarakat yang dirangka bagi menggalakkan pemindahan ilmu berasaskan kesarjanaan yang dijana di universiti awam kepada komuniti untuk kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

“Sejak kewujudannya, UMS membantu menjana transformasi pembangunan di negeri ini dan kini menjadi salah sebuah universiti terkemuka di negara ini yang sentiasa menjadi pusat rujukan terutamanya di Sabah.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Prof Datuk Dr Kasim Mansur kerana dilantik semula sebagai Naib Canselor UMS. Dr Kasim adalah anak tempatan yang berpengalaman, lama berkhidmat dengan UMS dan antara antara ahli akademik asal Sabah yang terkenal di negara ini,” katanya.

Seramai 4,721 pelajar menerima tawaran melanjutjan pengajian di UMS bagi sesi 2023 / 2024 yang bermula pada minggu ini, dengan majoritinya atau 3,869 pelajar adalah di UMS Kampus Kota Kinabalu, diikuti 661 pelajar di UMS  Kampus  Antarabangsa Labuan dan 191 pelajar di Fakulti Pertanian Lestari UMS Kampus Sandakan. – Info X