Search

Memandu tanpa lesen, mabuk, langgar tiang lampu

November 30, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang pemandu kereta yang terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Ching Thien Vun, di sini, malam tadi dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

Malah, lelaki berusia 21 tahun itu yang memandu seorang diri juga didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, suspek yang memandu kereta jenis Proton Savvy terbabas sendiri dan melanggar tiang lampu di tengah pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati suspek memandu Proton Savvy dari UU Bay Garden, Batu Payung menuju balik ke rumahnya di Flat Seri Titingan.

“Setibanya di lokasi, pemandu terbabit dipercayai hilang kawalan dan menyebabkannya melanggar tiang lampu di tengah pembahagi jalan.

“Hasil siasatan polis mendapati pemandu tidak mempunyai lesen memandu dan telah memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan dan kerosakan kepada harta benda awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kereta terbalik selepas terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Ching Thien Vun, Tawau. – Foto/PDRM

Jasmin berkata, kemalangan tidak membabitkan sebarang kecederaan dan pemandu ditahan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020),” katanya.

Sementara itu, Jasmin menegaskan individu yang berada di bawah pengaruh alkohol tidak sepatutnya memandu kerana ia boleh membahayakan nyawa serta kerosakan harta benda awam. – Info X