KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menghadapi masalah mengenai pembahagian kerusi dengan Pakatan Harapan (PH) jika mereka bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) nanti.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun ketika diminta mengulas perkembangan kerjasama di antara GRS dan PH bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan negeri itu, berkata soal agihan kerusi di antara kedua-dua gabungan berkenaan perlu selaras dengan hasrat atau kehendak setiap parti komponen GRS.
“Kita penuh yakin isu pembahagian kerusi ini bukan sesuatu yang rumit di antara GRS dan PH tetapi ia lebih kepada memenuhi citarasa dan juga hasrat setiap parti komponen dalam GRS itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Butik Tudung Bawal Ratu Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengasas Bawal Ratu, Datin Siti Aisyah Mohd Hamid dan stokis Butik Bawal Ratu Kota Kinabalu, Eva Olivia Johnius.
Masidi bagaimanapun, berkata setakat ini belum ada perbincangan dengan PH, namun beliau mengakui GRS dan PH mempunyai kesefahaman dan kerjasama yang erat.
Jelasnya, sebarang kerjasama politik bagi menghadapi PRN17 hanya dibincangkan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan.
“Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sudah menyatakan lebih awal bahawa kita akan bincang ini apabila pilihan raya (sudah ditetapkan) atau setelah DUN dibubarkan.
“Bagi kita, tiada keperluan untuk kita mempercepatkannya kerana setakat ini sudah terdapat kesefahaman dan kerjasama yang cukup erat di antara PH dan GRS,” katanya.
PRN17 dijangka diadakan pada bila-bila masa dari sekarang hingga Oktober depan.
Sementara itu, ditanya rundingan agihan kerusi di antara parti komponen GRS sendiri, Masidi berkata GRS juga belum membincangkan perkara itu.
“Kita belum sampai ke tahap itu dan sebenarnya saya telah dilantik untuk membentuk satu jawatankuasa yang berfungsi sebagai satu konsultasi di kalangan pemimpin parti komponen GRS untuk melihat secara kasar mana kerusi yang mungkin sesuai untuk setiap parti,” katanya. – Info