KOTA KINABALU: Seluruh kawaaan pantai barat, utara dan pedalaman Sabah diramal mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga lewat petang ini.
Bagi kawasan pedalaman, antara daerah terlibat ialah Sipitang, Beaufort, Kuala Penyu, Tenom, Keningau dan Tambunan.
Berdasarkan amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) pada jam 3.35 petang tadi, cuaca lembab itu juga diramal berlaku di Wilayah Persekutuan Labuan.
Ramalan cuaca sama juga dijangka berlaku di sebahagian kawasan pantai timur, khususnya Tawau, Kunak dan Semporna, selain Beluran dan Telupid di bahagian Sandakan.
Met Malaysia berkata, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter perjam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Katanya, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – Info X