Search

Peniaga dipantau elak naik harga barang – James Ratib

December 1, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memantau peniaga dalam usaha menangani kenaikan harga barang pada tahun depan.

Menterinya, Datuk James Ratib, berkata perbincangan juga akan dilakukan bersama peniaga dan pengeluar barangan di negeri ini bagi memastikan mereka tidak menaikkan harga barangan hingga menjejaskan pengguna.

“Kita akan membuat pemantauan bersama dengan KPDN dan kita juga akan mengadakan perbincangan dengan semua syarikat pengeluar produk supaya mereka jangan (menaikkan harga barang).

“Kita mengawal harga barang mereka,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Sabah Trusted Brand Award (STBA) anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), malam tadi.

James menyampaikan Anugerah STBA kepada syarikat yang berjaya.

Beliau ditanya mengenai kemungkinan harga barangan di negeri ini melambung berikutan peningkatan kos menjalankan perniagaan yang dijangka berlaku pada tahun depan.

Hadir sama Yang Dipertua MTPN Sabah, Kevin Lo dan Timbalan Presiden Kebangsaan 1 MTPN, Abdul Malik Jamaran.

Sementara itu, James menyifatkan anugerah STBA sebagai pengiktirafan kepada syarikat berasal dari Sabah atas pencapaian mereka dalam mengembangkan perniagaan dan jenama masing-masing.

“Tahun ini sebanyak 36 syarikat menerima anugerah ini berbanding 41 syarikat pada tahun lalu. Semua syarikat ini diiktiraf oleh MTPN selepas diaudit dan produk mereka disahkan selamat kepada pengguna,” katanya. – Info X