Search

Memiliki bakakuk, peluru antara kesalahan dikesan dalam RCP Kalabakan

November 20, 2023

Info X Reporters

KALABAKAN: Seramai 426 individu diperiksa dan 16 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Road Check Point (RCP) Kalabakan, di sini yang dijalankan mulai 16 November hingga Sabtu lalu.

Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos berkata, turut ditahan dua lelaki masing-masing memiliki senjata api buatan sendiri jenis ‘bakakuk’ dan beberapa butir peluru.

Katanya, senjata api dan peluru itu ditemukan di dalam kereta salah seorang suspek dan sebuah premis semasa pemeriksaan oleh pihak berkuasa.

“Kedua-dua individu terbabit dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.

“Selain itu, lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) turut ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tawau untuk siasatan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Antara individu yang ditahan oleh pihak berkuasa dalam Operasi Bersepadu Road Check Point (RCP) Kalabakan. – Foto/ ESSCOM

Menurutnya, enam individu pula ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 selepas didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

“Semua tangkapan terbabit diserahkan kepada pihak Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Sementara itu, sebanyak 21 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi berkenaan.

Victor berkata, operasi itu bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai dan penyusupan PTI serta penguatkuasaan terhadap kesalahan-kesalahan lain.

Katanya, ia dilaksanakan di laluan utama menghubungkan pantai Barat dan pantai Timur Sabah termasuk operasi di laluan tikus yang dikenal pasti digunakan penjenayah berhampiran sempadan daratan Kalabakan.

“Kejayaan operasi ini adalah hasil perancangan inklusif dan usaha murni kerajaan melalui Operasi Sanggah ESSCOM untuk memperkasa operasi-operasi sedia ada. – Info X