Search

Mohd Ali mulakan tugas sebagai Komander ESSCOM

May 18, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Deputi Komisioner Polis (DCP) Mohd Ali Tamby memulakan tugas sebagai Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang baharu, hari ini.

Mohd Ali menggantikan Datuk Hamzah Ahmad yang bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Berkelulusan Sarjana Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), beliau memulakan karier dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1988 dengan menyertai Latihan Asas Kepolisan yang tamat pada tahun 1990, seterusnya menyertai Pasukan Elit PDRM iaitu Unit Tindakhas (UTK) selama 25 tahun.

Beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan penting seperti Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Ipoh, Perak selain pernah berkhidmat sebagai pegawai pengiring kepada pemimpin negara.

Mohd Ali yang sebelum ini adalah Ketua Staf Pasukan Khas ESSCOM sejak tahun 2019, telah berkhidmat selama 35 tahun tiga bulan dalam PDRM dan dengan pengalaman luas serta kemahiran yang ada diyakini mampu memberi suntikan baharu serta menerajui ESSCOM ke tahap yang lebih cemerlang.

Bahagian Khidmat Keurusetiaan ESSCOM menerusi kenyataan media, hari ini memaklumkan upacara Majlis Serah Terima Tugas Komander ESSCOM secara rasmi akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Katanya, selain jawatan komander, ESSCOM turut menerima beberapa pertukaran Ketua Staf iaitu Senior Komisioner Polis (SAC) Mohamad Pajeri Ali, Ketua Staf Pasukan Siasatan Khas/Teknikal; SAC Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa sebagai Ketua Staf Pasukan Khas; dan SAC Azli Amin, Ketua Staf Perisikan. – Info X