KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan wabak denggi berulang sebanyak tiga kali setakat Mei tahun ini di Taman Ridgeview Phase 2, berhampiran Pusat Komersial 88 Kepayan, di sini.
Pegawai Epidemiologi Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu Dr Pathman Arumugam berkata, sepanjang tempoh berkenaan juga, sebanyak enam kompaun dikeluarkan kepada pemilik rumah selepas pihak penguatkuasa mengesan terdapat bekas yang mempunyai jentik-jentik Aedes seperti baldi, tayar dan pasu bunga.
“Sabah juga merekodkan 640 jumlah kumulatif kes denggi yang dilaporkan pada tahun ini.
“Wabak denggi pertama kali direkodkan pada 9 Februari sehingga 2 April lalu yang berlangsung selama 52 hari dan berstatus ‘Hotspot’ iaitu wabak demam denggi melebihi 30 hari dengan melibatkan 21 kes demam denggi.
“Wabak demam denggi terkini yang bermula pada 20 April lalu masih belum tamat dengan merekodkan 11 kes demam denggi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pathman berkata, berdasarkan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, pemilik rumah serta premis yang dikesan adanya pembiakan Aedes boleh kompaun maksima RM500.
“Sekiranya kesalahan berulang, pemilik juga boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500, berserta tindakan mahkamah dengan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua- duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata jumlah kumulatif kes denggi tahun ini dilihat meningkat sebanyak 206 peratus berbanding kumulatif sehingga Minggu Epid 19 tahun 2022 iaitu hanya 209 kes berbanding 640 tahun ini.
Katanya satu wabak turut dilaporkan pada Minggu Epid 19/2023 dan jumlah kumulatif wabak denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epid 13/2023 adalah 69 wabak.
Beliau bagaimanapun berkata tiada kematian denggi dilaporkan tahun ini sehingga Minggu Epid 19/2023 di Kota Kinabalu.
Dalam pada itu katanya sepanjang aktiviti kawalan dilaksanakan, pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) turut sama menyertai Operasi Bersepadu.
“Operasi dijalankan sebanyak dua kali selepas pasukan penguatkuasa mengenal pasti pelbagai isu yang memerlukan bantuan dan tindakan pelbagai agensi.
“Pada masa sama, penduduk juga dinasihatkan untuk memainkan peranan dengan memastikan aktiviti anti denggi dijalankan di kawasan perumahan masing-masing termasuklah memusnahkan tempat pembiakan jentik-jentik Aedes di dalam bekas yang menakung air sekurang-kurangnya 10 minit setiap hujung minggu.
“Penduduk juga disaran melakukan semburan aerosol di rumah setiap subuh dan senja selain bergotong-royong berkala sekurang- kurangnya sebulan sekali walaupun tiada kes denggi dilaporkan,” katanya.
Tambahnya penghuni juga dinasihat agar mengurus pelupusan serta pemindahan kereta terbiar yang diparkir di ruangan tempat letak kereta dan membuang sampah atau barang lusuh di tempat yang ditetapkan. – Info X