KOTA KINABALU: Seorang penunggang maut manakala seorang lagi cedera selepas dua motosikal bergesel berhampiran lampu isyarat Deasoka, Jalan Gaya, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4.35 pagi itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kemalangan membabitkan dua motosikal yang bergesel.
“Siasatan mendapati sebuah motosikal jenis Honda RXS yang ditunggang seorang lelaki datang dari arah Bulatan Bandaraya, menuju ke Jalan Gaya.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian penunggang motosikal dalam keadaan yang laju dari arah belakang melanggar sebuah lagi motosikal yang berada dihadapannya lalu bergesel hingga mengakibatkannya hilang kawalan dan terbabas.
“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal Honda RXS terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas manakala seorang lagi penunggang motosikal hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kemalangan disebabkan kecuaian penunggang motosikal Honda RXS yang cuai di dalam pemanduannya iaitu dengan melanggar sebuah motosikal dihadapannya dan bergesel sehingga hilang kawalan lalu terbabas.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas,” katanya. – Info X