KOTA KINABALU: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya di Beluran terpaksa belajar di bawah khemah tidak berdinding dan kaki lima sebuah masjid berikutan ketiadaan bangunan sekolah kekal.
Situasi itu didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, berdasarkan aduan diterimanya daripada ibu bapa murid di sekolah berkenaan.
Katanya, peruntukan RM2 juta sudah diluluskan untuk membina sekolah berkenaan, namun ia memakan masa yang lama untuk disiapkan.
“Saya menerima aduan daripada ibu bapa bahawa SK Balaban Jaya di Beluran sedang menghadapi isu ketiadaan bangunan sekolah kekal yang lengkap dan kini ditempatkan belajar di khemah tidak berdinding dan kaki lima sebuah masjid sahaja.
“Saya dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyalurkan peruntukan sekitar RM2 juta bagi pembinaan bangunan sekolah kekal. Namun begitu, proses pembinaan termasuk urusan tender dijangka mengambil masa beberapa bulan dan mungkin setahun untuk disiapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemimpin Parti Warisan itu meminta agar KPM atau Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah mengambil langkah segera dengan menyediakan bilik darjah jenis kabin sebagai penyelesaian sementara.
“Ini amat penting bagi memastikan anak-anak dapat belajar dalam suasana yang lebih selesa dan kondusif sementara menunggu bangunan kekal siap.
“Saya ingin merayu kepada YB Menteri serta pegawai-pegawai kanan berkaitan agar turun padang melihat sendiri keadaan sebenar.
“Anak-anak murid kini terpaksa belajar di penempatan sementara di masjid, ada yang belajar di kaki lima sehingga terdedah kepada tempias hujan, manakala dalam keadaan cuaca panas sekarang ini, mereka hanya berlindung di bawah khemah.
“Menitis air mata saya melihat keadaan anak-anak kita yang terpaksa belajar dalam keadaan sedemikian. Wahai menteri, wahai pegawai, bayangkan jika anak anda perlu belajar dalam keadaan sedemikian, apa perasaan anda?

“Keadaan ini amat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlarutan. Sampai bila kita mahu membiarkan anak-anak kita belajar dalam keadaan sebegini?
“Adakah anak-anak ini perlu terus menunggu dalam keadaan serba kekurangan? Sampai bila anak anak kita di Wilayah Sabah perlu menghadapi keadaan seperti ini,” soalnya.
Beliau yang juga bekas guru dan bekas pegawai pendidikan berkata, jika hak 40 peratus cukai bersih dapat diberikan kepada Sabah lebih awal maka keadaan seperti itu sudah pasti tidak berlaku. – Info X