KOTA KINABALU: Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR) memandang serius pendedahan kes rogol, terutama membabitkan sumbang mahram di negeri ini.
Menterinya, Datuk Julita Majungki, berkata kes seorang bapa merogol dua anaknya sebelum dihukum penjara 165 tahun dan sebat di Lahad Datu, menunjukkan perlunya memperkukuh usaha pencegahan di peringkat keluarga, komuniti dan institusi agama.
Beliau berkata, langkah pencegahan yang lebih menyeluruh, termasuk penglibatan keluarga, komuniti dan institusi keagamaan, perlu diperkasa bagi menangani isu sosial berkenaan.
“Perkara ini amat menyedihkan dan sepatutnya tidak berlaku. Walaupun pelaku perlu berdepan tindakan undang-undang, pencegahan adalah sama penting,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kes itu.
Laporan berita sebelum ini menyatakan seorang bapa merogol dua anak perempuannya selama beberapa tahun di kediaman mereka di Lahad Datu.
Lelaki berusia 54 tahun itu dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 165 tahun dan 24 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap 11 pertuduhan.
Julita turut menggesa mangsa penderaan agar tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa, sambil menegaskan bantuan sentiasa tersedia.
“Sekiranya persekitaran mereka bersifat mendera dan memerlukan bantuan, mereka tidak perlu teragak-agak untuk tampil mendapatkan pertolongan.
“Kita mempunyai pusat perlindungan di bawah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) yang menyediakan tempat perlindungan dan sokongan kepada mangsa penderaan,” katanya.
Antara inisiatif utama, katanya ialah Rumah Perlindungan Wanita (RUPAWAN) yang menyediakan perlindungan sementara, keselamatan serta sokongan pemulihan kepada wanita dalam situasi krisis.
Katanya, orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi RUPAWAN melalui WhatsApp di talian 011-27918840.
Selain itu, katanya Pusat Bantuan Guaman Wanita (PBGW) turut menyediakan khidmat nasihat dan bantuan guaman dalam kes seperti keganasan rumah tangga, perceraian dan hak penjagaan anak, bagi memastikan wanita mendapat perlindungan dan pembelaan di sisi undang-undang.
Pusat itu katanya boleh dihubungi melalui WhatsApp di talian 010-5831891.
Melalui JHEWA pula, katanya kementerian juga melaksanakan program advokasi berkaitan pencegahan keganasan rumah tangga serta literasi undang-undang bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan intervensi awal.
“Usaha ini dilengkapi dengan program kesedaran berterusan serta penglibatan komuniti yang menumpukan kepada pengukuhan nilai kekeluargaan.
“Kementerian juga akan terus bekerjasama rapat dengan pemimpin komuniti dan institusi berkaitan bagi memperluas capaian, khususnya dalam membimbing ibu bapa dan keluarga mewujudkan persekitaran yang selamat untuk anak-anak,” katanya. – Info X