KOTA KINABALU: Nasi lemak disyaki menjadi punca keracunan makanan membabitkan 103 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya, di sini, kelmarin.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Asits Sanna, berkata murid sekolah terbabit ada sejarah memakan nasi lemak pada sekitar jam 9.50 pagi.
Bagaimanapun, katanya sejarah lengkap pergerakan dan pendedahan kes kepada makanan masih dalam siasatan JKNS.
“Tindakan kawalan yang sudah dilaksanakan termasuk memberi rawatan yang bersesuaian dan menjalankan pengesanan kes secara aktif (ACD).
“Turut dilaksanakan ialah pendidikan kesihatan kepada individu terbabit dan pengambilan sampel makanan, minuman serta persekitaran bagi pengesahan punca kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin mengesahkan berita tular keracunan makanan yang membabitkan murid sekolah itu hingga terpaksa dihantar ke beberapa hospital dan klinik.
Paling ramai dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, selain Hospital Queen Elizabeth (HQE), Klinik Kesihatan Luyang dan Klinik UTC Kota Kinabalu.
Dr Asits berkata, notifikasi wabak berkenaan diterima daripada klinik dan hospital kerajaan di ibu negeri pada jam 2.09 petang kelmarin dan sehingga kini seramai 103 murid disahkan mengalami keracunan makanan.
“Kes mengalami gejala muntah, cirit-birit, dan sakit perut. Sebanyak lapan kes dimasukkan ke wad, manakala 95 kes dirawat sebagai pesakit luar.
“Kesemua kes berumur di antara enam hingga 12 tahun dan berada dalam keadaan stabil serta tiada kematian dilaporkan,” katanya.
Katanya, pihak sekolah sudah dinasihatkan supaya sentiasa memantau dan menjalankan pemeriksaan ke atas makanan yang dijual atau dibekalkan di kawasan sekolah.
“Jabatan Kesihatan Sabah juga ingin menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala keracunan makanan.
“Jabatan Kesihatan Sabah dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Kota Kinabalu akan terus memantau kejadian ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, Dr Asits menjelaskan keracunan makanan adalah penyakit yang disebabkan pengambilan makanan atau minuman yang tercemar.
Katanya, ia boleh disebabkan oleh bakteria atau toksin bakteria, virus, parasit, bahan kimia seperti racun serangga dan racun rumpai, logam berat, tumbuhan yang beracun seperti cendawan dan hasilan laut seperti kerang.
“Sebagai pencegahan, jabatan ini juga ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan kebersihan dengan membasuh tangan dengan air dan sabun sebelum mengendalikan makanan.
“Memastikan kawasan dapur bebas daripada serangga, makhluk perosak dan haiwan yang lain serta menggunakan peralatan yang berasingan untuk makanan mentah bagi mengelakkan pencemaran kepada makanan yang sudah dimasak,” katanya.
Katanya, pengendali makanan juga diingatkan supaya memasak makanan dengan sempurna dan mamastikan ia dimakan dalam tempoh tidak melebihi empat empat jam.
Tambahnya, makanan sedia dimakan perlu disimpan pada suhu yang bersesuaian di dalam peti sejuk dan tidak melebihi tempoh yang ditetapkan. – Info X