Search

Warga emas terharu diselamatkan Ketua Polis Daerah ketika banjir

July 24, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang warga emas yang terperangkap dalam sebuah kenderaan akibat banjir, di sini pada pada 1 Julai lalu tidak menyangka penyelamat yang datang menyelamatkannya ketika itu ialah seorang ketua polis daerah.

Katherine ketika mengunjungi Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton di pejabatnya di IPD Penampang.

Katherine Tsen Kin Lin, 68, berkata beliau terharu apabila mendapat tahu bahawa individu yang menyelamatkan dan mengangkatnya sambil meredah banjir ke tempat selamat itu ialah Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton.

Mengenang jasa Ketua Polis Daerah itu yang menyelamatkannya, Katherine hari ini datang ke IPD Penampang untuk bertemu Sammy bagi mengucapkan terima kasih dan menyatakan penghargaan terhadap kepayahan anggota polis menyelamatkannya ketika banjir.

Mengimbau situasi ketika itu, Katherine berkata beliau bersama ahli keluarga baru balik dari Keningau sebelum terperangkap akibat banjir di Bulatan Kasigui, dekat sini.

“Kami bertolak pulang ke Likas, selepas berurusan di Keningau pada 2.30 petang dan tidak tahu Penampang dilanda banjir ketika itu.

Sammy ketika mengangkat Katherine yang terperangkap akibat banjir di Penampang pada 1 Julai lalu.

“Sepanjang perjalanan pulang, cuaca sangat teruk dan banyak tanah runtuh di sepanjang Jalan Penampang ke Keningau hingga melambatkan pergerakan pulang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun katanya, pada awal pagi mereka tiba di Penampang yang ketika itu jalan masih digenangi air.

“Sebaik tiba di Jalan Kasigui, kami melihat ada sebuah kenderaan tersadai di tepi jalan, tetapi kami mengambil keputusan untuk meredah jalan supaya dapat pulang segera ke rumah, tambahan pula kaki menaiki kenderaan tinggi pacuan empat roda.

“Malangnya, apabila melalui bulan di Jalan Kasigui, kenderaan kami tersasar akibat arus banjir yang kuat dan kami tidak dapat beredar dari kawasan itu atau meneruskan perjalanan.

“Ketika itu, saya sangat takut kerana kurang arif berkenaan banjir dan tidak pernah berdepan situasi banjir sebelum ini,” katanya.

Katanya lagi, tidak lama selepas itu, mereka dibantu dua penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan itu dan menolong mereka keluar dan naik di bahagian belakang trak pacuan empat roda berkenaan.

“Mereka menyarankan supaya kami berjalan kaki untuk mendapatkan bantuan tetapi malangnya kaki saya sakit dan tidak boleh berjalan dalam banjir.

“Pasukan kecemasan lain pun tidak dapat ke tempat kami kerana mereka perlu melakukan operasi menyelamat di kawasan lain dahulu sebelum ke kawasan kami berada ketika itu.

“Disebabkan tidak dapat menunggu lebih lama, saya mengambil keputusan menghubungi Balai Polis Penampang dan syukur mereka datang dengan segera dan memberi bantuan,” katanya.

Katherine, ketika itu dia dibantu Sammy yang mengangkat dan memindahkannya ke kenderaan pasukan.

“Ketika itu, saya tidak mengetahui pegawai polis yang mengangkat saya adalah Ketua Polis Daerah Penampang.

“Sebaik mengetahui beliau ialah Ketua Polis Daerah Penampang, saya sangat terkejut dan terharu kerana beliau sangat berdedikasi kepada masyarakat. Beliau melaksanakan tugas bukan hanya menjaga keselamatan daripada penjenayah tetapi prihatin dengan kebakaran orang awam.

“Saya begitu beruntung dan hari ini saya datang mengunjungi IPD Penampang bagi menyampaikan rasa terima kasih dan bersyukur dengan bantuan yang mereka berikan,” katanya.

Gambar Katherine didukung ketika banjir oleh Ketua Polis Daerah Penampang, turut tular di media sosial dan rata-rata netizen memuji sikap prihatin selain menzahirkan perasaan kagum kepada Ketua Polis Daerah Penampang. – Info X