TAWAU: Seorang nelayan yang dilaporkan terjatuh dari bot ketika keluar menangkap ikan di perairan Batu Payung, di sini, ditemukan lemas, petang tadi.
Mayat mangsa dikenali Husin berusia lingkungan 30 tahun, ditemui terapung oleh Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Batu 5 Jalan Apas.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu pada jam 3.19 petang.
Katanya, bot Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi mangsa ditemukan bagi urusan pengambilan mayat berkenaan.

“Mayat berkenaan dibawa ke pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Batu Payung untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Shahrizan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan sebuah bot tanpa juru kemudi itu jam 3.35 petang, pada Isnin.
Susulan itu, katanya, Zon Maritim Tawau mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 4 petang.
“Hasil siasatan awal, seorang penduduk menemukan sebuah bot sepanjang tujuh meter di kawasan 100 ela daripada selatan pantai Batu Payung.
“Bot berkenaan ditemukan tanpa juru kemudi dan hanya terdapat barang peribadi iaitu telefon bimbit dan makanan sahaja di dalam bot berkenaan,” katanya.
Katanya, seramai 90 orang termasuk pasukan keselamatan, sukarelawan dan persatuan nelayan digerakkan untuk operasi carilamat ini.
“Sebanyak lima sektor pencarian seluas 22 batu nautika persegi di sekitar perairan Batu Payung telah dilaksanakan bagi operasi berkenaan.
“Manakala, lima aset bot daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM), Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diatur gerak dalam SAR ini,” katanya.
Shahrizan berkata, operasi pencarian agak mencabar kerana keadaan cuaca kurang baik dengan angin bertiup selaju 30-40 kilometer sejam dan ombak setinggi dua meter. – Info X