KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan lima pegawai termasuk seorang wanita di sebuah jabatan kerajaan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu perpindahan yang membabitkan beberapa daerah di negeri ini berjumlah kira-kira RM61,000.
Menurut sumber, kelima-lima suspek berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun dipercayai ditahan antara jam 10 pagi hingga 12.30 tengahari ketika hadir di pejabat SPRM Sabah, hari ini.
Katanya, semua suspek dipercayai mengemukakan penyata resit syarikat pengangkutan bagi tujuan pembayaran penghantaran barangan rumah dan kenderaan sedangkan perkhidmatan berkenaan tidak pernah dilakukan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Semua suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat,” katanya.
Menurutnya, kelima-lima suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu, esok pagi.
“Susulan daripada siasatan kes ini, pihak SPRM Sabah memberikan khidmat nasihat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dengan mencadangkan beberapa penambahbaikan pekeliling perkhidmatan sistem dan prosedur berhubung tuntutan perpindahan di jabatan itu.
“Kerajaan negeri juga menyambut baik khidmat nasihat dan kini dalam proses penambahbaikan,” katanya. – Info X