SANDAKAN: Bot nelayan vietnam yang sedang leka menangkap gamat di perairan daerah ini berjaya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.
Bot nelayan asing yang dinaiki enam warga Vietnam ditahan oleh PPM Sandakan di kawasan laut Sungai Asam, jam 4.15 petang.
Pegawai Pemerintahan Markas Operasi PPM Sandakan, Deputi Superintendan Ezuandi Bahadin berkata, ketika kejadian pasukan operasi sedang membuat rondaan sebelum mengesan sebuah bot nelayan asing yang mencurigakan sedang menjalankan aktiviti menunda.
“Pasukan operasi kemudian menghampiri dan menyedari kehadiran PPM, juragan bot itu bertindak memecut laju dan enggan berhenti selepas diarahkan.
“Selepas dikejar, bot nelayan itu berjaya dipintas dan hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan asing dari Vietnam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati bot itu dijuragani lelaki warga Vietnam berusia 41 tahun bersama lima kru juga warga Vietnam berusia lingkungan 30-an hingga 70-an.
“Turut ditemui satu tong berisi gamat dipercayai hasil daripada aktiviti menunda di kawasan berkenaan.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan peralatan menangkap gamat berjumlah RM2,099,800,” katanya.
Beliau berkata, tangkapan dab rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya. – Info X