KOTA KINABALU: Larian Amal Taman Kinabalu (KPCR) kali kedua anjuran bersama Sutera Sanctuary Lodges (SSL) dan Taman-Taman Sabah bakal diadakan pada 9 November depan.
Program bertujuan menjana dana untuk membantu golongan kurang bernasib baik itu mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri (KEPKAS).
Menterinya, Datuk Christina Liew, berkata penganjuran larian berkenaan wajar disokong sejajar manfaat yang bakal terhasil dan dirasai peserta serta penerima manfaatnya.
“KPCR wajar mendapat sokongan awam memandangkan ia berpotensi bukan saja untuk mempromosi kesihatan dan gaya hidup sihat tetapi juga untuk menjana kesedaran dan dana kepada penerima manfaat.
“Ia adalah acara yang signifikan kerana diadakan di tapak pertama UNESCO Triple Crown Malaysia yang dinilai sebagai landskap semulajadi yang menakjubkan,” katanya, dalam satu kenyataan, di sini.
Semalam, beliau menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Elsekutif SSL, Ravi Kathiravelu, yang memberikan taklimat terperinci mengenai penganjuran larian amal berkenaan.
Acara bertemakan ‘Run & Pave A Path For Hope’ itu dianjurkan bersama SSL dan Taman-Taman Sabah di bawah bimbingan pengarahnya, Dr Maklarin Lakim.
Sementara itu, Christina menggalakkan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengikut jejak penganjuran KPCR bagi membantu orang memerlukan dan kurang bernasib baik.
Dalam taklimatnya semalam, Kathiravelu melaporkan program itu berjaya menjana sebanyak RM153,376 pada tahun lalu yang diagihkan kepada dua penerima manfaat.
Dua badan itu, katanya ialah Starfish Malaysia Foundation dan Palliative Care Association of Kota Kinabalu.
Pengurus Besar SSL, Kueh Lian See, berkata bagi tahun ini penganjur mensasarkan untuk menjana lebih banyak kutipan menerusi larian amal berkenaan.
Hadir sama pada kunjungan hormat semalam ialah Pengarah Kewangan SSL, Tim Liew dan Pengurus Pemasaran dan Komunikasi SSL, Eric Liaw.
Maklumat lanjut mengenai pendaftaran KPCR 2024 boleh dierolehi di laman web suterasanctuarylodges.com.my/kinabalu-park-charity-run-2024