Search

Warga emas antara ditahan sabung ayam

July 28, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki warga emas antara lapan kaki sabung ayam yang ditahan selepas ‘markas’ mereka yang terletak di kawasan ladang sawit di Jalan Tawau – Kunak, diserbu polis, semalam.

Lelaki berusia 71 tahun itu ditahan selepas gagal melarikan diri ketika serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, jam 12.50 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam serbuan itu lima lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing berusia 25 hingga 61 tahun termasuk seorang warga emas berusia 71 tahun ditahan.

“Menerusi serbuan itu, polis turut merampas lapan ekor ayam jantan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan judi laga ayam gelanggang.

“Selain itu, polis merampas peralatan laga ayam serta wang tunai berjumlah RM1,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lokasi sabung ayam di kawasan kelapa sawit di Jalan Tawau – Kunak, Tawau diserbu polis. – Foto/PDRM

Menurutnya, semua yang ditahan di bawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.

“Kes turut disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, Jasmin memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terbabit dalam sebarang aktiviti perjudian seumpamanya. – Info X