KOTA KINABALU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan Operasi Bersepadu Road Check Point (RCP) Sapi Nangoh Beluran Siri 1/ 2023 dalam memastikan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) kekal selamat, sejahtera dan tenteram.
Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Victor Sanjos berkata, operasi bermula 13 hingga 15 Julai itu yang dilaksanakan di RCP Sapi Nangoh dan di Kilometer 70 Jalan Beluran berhampiran Kampung Pamol bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan bersubsidi, tidak bercukai dan penyusupan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Katanya operasi juga dijalankan bagi penguatkuasaan terhadap kesalahan lain di laluan utama yang menghubungkan pantai barat dan pantai timur Sabah termasuk laluan tikus yang dikenal pasti digunakan oleh penjenayah dalam kawasan daratan di Beluran.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 282 kenderaan darat pelbagai jenis diperiksa melibatkan 661 orang individu.
“Daripada jumlah itu, seramai 13 orang PATI warganegara Filipina dan Indonesia ditangkap termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dirampas selepas dipercayai digunakan untuk menyeludup PATI.
“Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Beluran kerana pelanggaran kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, pada masa sama seramai 27 orang masyarakat Bajau Laut (Pala’u) turut ditahan semasa menaiki pengangkutan awam dan diserahkan kepada JIM.

“Turut ditangkap seorang lelaki dewasa kerana didapati positif dadah jenis Methamphetamine mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 untuk siasatan lanjut oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran.
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) PDRM serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan 85 keping saman masing- masing atas pelbagai kesalahan lalu lintas mengikut POL 257 dan Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987,” katanya.
Katanya, selaras dengan kejayaan Operasi Bersepadu RCP Sapi Nangoh Daerah Beluran ini, bagi pihak ESSCOM ingin menzahirkan penghargaan petugas seramai 111 orang pegawai dan anggota yang menjayakan operasi kali ini serta semua Jabatan dan agensi yang terlibat, seperti PDRM khususnya IPD Beluran, BSPT dan Batalion 20 PGA Beluran.
Tambahnya penghargaan juga diberikan kepada ATM, Jabatan Kastam Diraja, JPJ, JIM, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
“Kejayaan operasi ini juga sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan melalui Operasi Sanggah ESSCOM untuk memperkasakan operasi sedia ada bagi PDRM, ATM dan Agensi Penguakuasaan Maritim Malaysia (MaritimMalaysia) di ESSZone selaras dengan hasrat ESSCOM iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi memastikan keselamatan di pantai Timur Sabah kekal selamat dan terkawal.
“ESSCOM juga akan terus mempergiat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah di ESSZONE bagi mengekang mana-mana elemen yang boleh mengganggu serta menggugat keselamatan dan kesejahteraan awam akibat kebanjiran PATI khususnya di pantai Timur Sabah.
“Sehubungan itu, masyarakat diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZONE ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072,” katanya. – Info X