Search

Premis curi elektrik, lombong bitcoin diserbu di Tawau

July 15, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Kegiatan mencuri bekalan elektrik bagi perlombongan bitcoin di sebuah premis di Taman Perindustrian Prima Jaya, di sini, tumpas dalam serbuan, Rabu lalu.

Serbuan dilakukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) termasuk Polis Bantuan SESB.

SESB Corporate menerusi Facebook rasminya hari ini memaklumkan, hasil serbuan itu, sejumlah 56 buah mesin bitcoin dirampas.

Katanya, hasil siasatan premis mendapatkan bekalan elektrik secara haram (premis bermeter) dengan membuat sambungan terus dari verandah main SESB ke premis.

Kakitangan kerja SESB membuka pintu premis yang disyaki mencuri bekalan elektrik bagi perlombongan bitcoin. – Foto/SESB

“Melalui bacaan arus di meter pengguna, didapati arus di setiap fasa menunjukkan penggunaan yang tinggi.

“Justeru, serbuan dilakukan polis D4 IPK Sabah dengan kekuatan empat anggota dan 10 kakitangan kerja SESB termasuk Polis Bantuan SESB,” katanya.

Menurutnya, bekalan ke premis berkenaan dipotong serta merta.

“Anggaran kerugian awal daripada penyambungan elektrik secara haram ini adalah sebanyak RM105,000,” katanya. – Info X