Search

Op PATI Bersepadu roboh 80 rumah setinggan sekitar KK

July 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 80 rumah koloni setinggan yang dibina di kawasan tanah yang tidak dibenarkan sekitar daerah ini dirobohkan, semalam.

Tindakan terbabit dijalankan menerusi Op Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Bersepadu Mega bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, operasi yang dijalankan selama lima jam ini berjaya merobohkan 80 struktur haram.

Katanya, sepanjang operasi itu, polis turut menahan tiga wanita warga Filipina yang gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Tangkapan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 51(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rumah koloni setinggan yang dirobohkan dalam Op PATI Bersepadu Mega di Kota Kinabalu.

Operasi dijalankan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Ketua Menteri (JKM), Sabah Eletricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Air Negeri Sabah (JAND), Jabatan Tanah Dan Ukur dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Kasim berkata, operasi ini akan dijalankan secara berterusan pada masa akan datang.

“Langkah ini dalam usaha membanteras jenayah, PATI, dadah dan gejala sosial di Kota Kinabalu,” katanya. – Info X