PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang berjaya menahan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dalam satu serbuan di sebuah apartment Jalan Bundusan di sini, 12 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Penampang itu juga berjaya merampas 10 bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah jenis Ekstasi.
Katanya, dadah seberat 510.90 gram itu dianggarkan bernilai RM5,000.
“Hasil pemeriksaan air kencing terhadap suspek berusia 36 tahun itu juga menunjukkan suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphethamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman mandatori jika sabit kesalahan.
“Suspek yang kini ditahan reman juga akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.
Beliau juga mengingatkan masyarakat agar tidak terjebak dengan kegiatan penyalahgunaan dadah dan terus menjadi mata serta telinga polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala dadah. – Info X