Search

Sabah mahu autonomi sendiri kawal selia industri CCUS

July 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah mahu diberikan autonomi untuk melaksana dan mengawal selia industri penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di negeri ini.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata pengawalseliaan dan pelaksanaan aktiviti CCUS di Sabah mesti terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Beliau berkata, autonomi Sabah ke atas sumbernya sangat penting supaya kerajaan negeri mempunyai kuasa mengawal selia dan mengurus aktiviti CCUS bagi memastikan ia sejajar dengan keperluan negeri ini.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk meningkatkan kedudukan kewangan Sabah dan mengurangkan pergantungan kita terhadap bantuan kewangan persekutuan.

“Sabah lebih berkemampuan untuk menguruskan industri CCUS secara bebas dan kita mempunyai beberapa pilihan untuk tindakan bebas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, baru-baru ini mengenai empat negeri iaitu Terengganu, Pahang, Sabah, dan Sarawak yang dikenal pasti sebagai peneraju berpotensi dalam industri CCUS di negara ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah mengakui kebenaran kenyataan Rafizi itu dan menjelaskan bahawa inisiatif berkenaan sememangnya satu usaha yang menjanjikan masa depan baik untuk Sabah.

Sementara itu, beliau menggariskan tiga pilihan bagi mengembangkan industri CCUS di Sabah iaitu menerusi perundangan negeri, perusahaan milik negeri dan perkongsian antarabangsa.

Jelasnya, melalui perundangan negeri, Sabah boleh menggubal undang-undang sendiri yang kukuh dan komprehensif untuk mengawal selia aktiviti CCUS di dalam negeri dengan bantuan pakar undang-undang dan perundingan.

Beliau berkata, kerajaan negeri boleh merundingkan perjanjian dengan pengendali industri dan pelabur untuk mewujudkan rangka kerja kawal selia yang sejajar dengan piawaian antarabangsa.

“Keduanya dengan mewujudkan perusahaan milik negeri yang mana Sabah boleh memanfaatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) miliknya untuk menerajui projek CCUS dan kita boleh membentuk perkongsian dengan syarikat tempatan serta antarabangsa untuk berkongsi kepakaran teknikal dan pelaburan.

“Ketiga, melalui perkongsian antarabangsa, kita boleh mewujudkan perkongsian dengan organisasi antarabangsa dan pelabur yang boleh menyediakan sokongan kewangan dan teknikal yang diperlukan. Perkongsian ini akan distrukturkan untuk mematuhi kedua-dua undang-undang tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Jeffrey berkata, dengan menguasai industri CCUS di Sabah, kerajaan negeri boleh memastikan bahawa faedah ekonomi secara langsung dapat menyumbang kepada kesejahteraan rakyatnya.

Katanya, autonomi itu membolehkan kerajaan negeri mencipta rangka kerja kawal selia yang teguh dan disesuaikan dengan konteks alam sekitar serta ekonomi negeri, selain untuk menarik pelaburan tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, katanya kredit karbon yang dijana melalui projek CCUS yang berjaya boleh memberikan aliran hasil baharu yang ketara, seterusnya meningkatkan kebebasan dan kemampanan kewangan Sabah. – Info X