Search

Op Sanggah bantu ESSCOM tangani kes culik di pantai timur Sabah

December 8, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Kejadian penculikan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) mulai berubah saban tahun apabila Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) mula mengkoordinasikan Operasi Sanggah dan pelbagai operasi khas bersama-sama pasukan keselamatan.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, sejak 2000 hingga 2020, sebanyak 25 kes kejadian penculikan berlaku di ESSZONE.

“Hasil daripada usaha berterusan itu, kita telah berjaya menumpaskan sel-sel Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dan Kumpulan Kidnap For Ransom (KFRG) dengan seramai 17 orang telah ditembak mati dan 23 lagi ditangkap.

“Selain itu, sebanyak 16 kes cubaan penculikan juga telah berjaya dipatahkan pihak berkuasa sejak 10 tahun yang lalu.

“Saya menzahirkan penghargaan atas kejayaan ESSCOM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di ESSZONE dalam mengekalkan rekod sifar insiden penculikan sejak 15 Januari 2020,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam masa yang sama, Victor berkata keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di ESSZONE turut kekal terjamin melalui operasi keselamatan secara bersepadu yang dilaksanakan dari semasa ke semasa pada tahun ini.

“Bermula 1 Januari 2023 hingga 11 November 2023 pula, ESSCOM telah berjaya mengkoordinasi lebih 2.2 juta pemeriksaan fizikal terhadap orang, kenderaan dan bot.

“Daripada jumlah pemeriksaan itu, sebanyak 512 individu ditahan dan 150 kenderaan serta bot dirampas oleh pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan,” larangan.

Di samping itu, beliau berkata seramai 215 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir meliputi jumlah 88 kapal/bot dari sempadan negara.

“Jumlah keseluruhan rampasan untuk tempoh yang sama juga, melebihi RM17.5 juta dan nilai rampasan tertinggi daripada penyeludupan rokok dan barang kawalan dengan nilai RM14.3 juta.

“Selain itu, nilai rampasan dadah dan barang milik PATI masing-masing menyumbang kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM3.3 juta,” jelasnya.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos.

Sementara itu, Victor berkata sejak dijenamakan semula pada 18 Oktober lalu, terma Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ESSZONE, Sabah dilihat semakin memberi perkembangan positif kepada keberkesanan koordinasi Operasi keselamatan yang dilaksanakan oleh ESSCOM bersama-sama pasukan keselamatan di pantai Timur Sabah.

“Ini kerana, sejak dijenamakan, terma itu lebih lembut untuk disebut dan didengari serta banyak membantu mengubah persepsi masyarakat luar dan pelancong asing untuk mengunjungi pusat-pusat pelancong di ESSZONE berdasarkan statistik kemasukan pelancong yang mengalami peningkatan signifikan jika dibandingkan dengan 2022.

“Justeru, amat dialu-alukan usaha kerajaan menjenamakan semula terma yang sebelum ini didengari agak keras serta menakutkan dan melihat perkara ini sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Perpaduan untuk memperkasa rakyat melalui ekonomi Madani,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memahami kegusaran dan kekeliruan yang timbul khususnya dalam kalangan masyarakat luar dan pelancong asing berhubung terma PKP ESSZONE Sabah yang sebelum ini dikenali sebagai Perintah Berkurung dan kerap disalah tafsir turut dikuatkuasakan di daratan sedangkan ia hanya berkuat kuasa di perairan.

“Justeru, saya ingin mengambil ruang ini untuk membetulkan persepsi pihak luar terhadap pengoperasian PKP ESSZONE Sabah ini yang dikuatkuasakan oleh PDRM, APMM dan ATM di kawasan perairan yang melebihi tiga batu nautika (5.556 kilometer) ke atas atau membawa ke persempadanan antarabangsa dari jam 6 petang hingga 6 pagi.

“Oleh itu, saya memohon agar pihak media dan masyarakat di negeri ini serta rakyat di Malaysia amnya dapat membantu ESSCOM dan PDRM membetulkan kekeliruan yang timbul supaya sektor pelaburan asing dan industri pelancong di ESSZONE dapat ditingkatkan lagi sekali gus membantu mensejahterakan ekonomi masyarakat di ESSZONE,” ujarnya. – Info X