Search

Operasi dua hari ESSCOM, tindakan dan rampasan lebih RM407,000

September 30, 2026

Info X Reporters

BELURAN: Tindakan penguatkuasaan dan rampasan bernilai keseluruhan RM407,644.69 direkodkan menerusi Operasi Bersepadu yang dilaksanakan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) selama dua hari di daerah ini.

Operasi pada 28 dan 29 September itu menyaksikan 70 premis perniagaan dan 170 kenderaan diperiksa, selain tiga lokasi yang dikenal pasti dipercayai digunakan untuk menyimpan rokok serta minuman keras tidak bercukai.

Komander ESSCOM, Datuk Victor B Sanjos berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, tindakan penguatkuasaan membabitkan kompaun, saman, tunggakan atau bayaran serta tindakan berkaitan undang-undang mencatat nilai RM293,450.16.

Katanya, rampasan rokok dan minuman keras tidak bercukai pula dianggarkan bernilai RM114,194.53 termasuk duti.

“Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah mengeluarkan enam kompaun bernilai RM159,000, empat notis pematuhan serta mengarahkan pembayaran tunggakan berjumlah RM48,100.16.

“Keseluruhan tindakan penguatkuasaan JTK Sabah bernilai RM207,100.16 membabitkan kesalahan di bawah Ordinan Buruh Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Victor berkata, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengeluarkan enam kompaun bernilai RM30,000 selain tujuh notis pematuhan.

Menurutnya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula memeriksa 14 majikan dan mengeluarkan lima notis pemeriksaan, manakala lima kes dikenal pasti untuk siasatan lanjut.

“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut memeriksa 170 kenderaan dan mengeluarkan 37 saman bernilai RM6,250.

“Majlis Daerah Beluran pula mengeluarkan kompaun berjumlah RM100 terhadap dua premis perniagaan kerana gagal mengurus sampah dengan betul,” katanya.

Beliau berkata, rokok dan minuman keras tidak bercukai yang dirampas dibawa ke Pejabat Kastam Sandakan untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.

Katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut memeriksa 56 individu, namun tidak mengesan sebarang kesalahan imigresen.

“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula menjalankan pemeriksaan terhadap 15 individu dan mendapati semua dokumen yang dikemukakan adalah tulen dan sah,” katanya.

Terdahulu, operasi bersepadu itu membabitkan kekuatan 184 pegawai dan anggota daripada ESSCOM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Jelas beliau lagi, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada pemeriksaan premis perniagaan, kenderaan dan lokasi terpilih bagi membanteras penyeludupan, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, barangan tidak bercukai serta kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Operasi seumpama itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa di daerah dalam Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan serta ketenteraman masyarakat di Sabah Timur.

“Sehubungan itu, masyarakat digesa terus bekerjasama dengan pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan dengan menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan atau kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan di ESSZONE,” katanya. – Info X