KOTA KINABALU: Lebih 600 gerai jualan bakal dibuka sempena BIGSABAH Sale 2026 yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, bermula 30 Oktober hingga 1 November depan.
Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Rosmawati Lasuki selaku Pengerusi Penganjur BIGSABAH Sale 2026, berkata acara tiga hari itu dijangka menarik kehadiran lebih 100,000 pengunjung.
Jangkaan itu katanya mengambil kira pencapaian BIGSABAH Sale 2025 yang merekodkan seramai 80,615 pengunjung dengan sebanyak 650 gerai jualan pelbagai produk.
Edisi tahun ini, katanya bakal membawa pengguna, usahawan, syarikat perniagaan kecil dan sederhana (SME), selain jenama terkemuka Sabah dan dari luar, sambil memberi penekanan lebih besar terhadap libat urus perniagaan dan kemasukan ke pasaran serantau.
“Kita mahu bukan saja menarik kehadiran yang besar, malah untuk mewujudkan nilai yang hebat dari platform yang kita bina.
“Pameran yang berjaya tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah orang yang datang, tapi juga melalui perniagaan yang dijana, hubungan yang dijalinkan dan peluang yang berterusan selepas pameran ini,” katanya pada sidang media mengenai penganjuran BIGSABAH Sale 2026 di SICC, di sini.

Katanya, penganjuran acara jualan besar-besaran itu kali ini bertemakan ‘Across Markets, Beyond Borders’ yang menggambarkan kedudukan strategik Sabah di ASEAN Timur, hubungan ekonomi dan kedudukan geografinya yang dekat dengan Brunei, Indonesia dan Filipina.
Jelasnya, BIGSABAH Sale 2026 disasar untuk menyediakan perniagaan di Sabah dengan kemasukan pasaran serantau lebih besar, sambil meletakkan negeri ini sebagai platform untuk perniagaan dari luar memperkenalkan produk mereka dan menjangkau pelanggan baharu serta mengenal pasti rakan berpotensi.
Acara itu katanya mengekalkan asas Business to Customer (B2C) selain meletakkan penekanan lebih besar terhadap libat urus Business to Business (B2B) pada edisi 2026.
Menerusi program tumpuan perdagangan dan padanan perniagaan, katanya pihak yang mengambil bahagian berpeluang untuk membina hubungan dengan pembeli berpotensi, pengedar, peruncit, pengimport, pelabur dan rakan strategik, membina laluan untuk hubungan perniagaan yang akan berlanjutan selepas acara itu.
Sementara itu, Rosmawati menyatakan penghargaannya terhadap usaha berterusan Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB), Sabah Convention Bureau dan Malaysian Association of Convention and Exhibition Organisers and Suppliers (MACEOS) dalam mengukuhkan industri Acara Perniagaan Malaysia dan mewujudkan peluang besar kepada perniagaan dan destinasi.
Katanya, BIGSABAH Sale 2026 dijangka menyumbang kepada momentum pelancongan Sabah yang pada tahun lalu mencatat kedatangan 3.79 juta pelancong dan menyasarkan empat juta tahun ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, disusuli Tahun Melawat Sabah 2027.

Setakat Ogos 2026, katanya Sabah merekodkan seramai 2,556,823 kedatangan pelancong, meningkat 4.1 peratus, termasuk 1,100,546 kedatangan antarabangsa dengan pertumbuhan 6.9 peratus.
Beliau berkata, pempamer, pembeli dan delegasi perniagaan menjana aktiviti ekonomi merentas pelbagai sektor termasuk penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, peruncitan dan perkhidmatan tempatan lain.
“Pada masa sama, hubungan perniagaan yang diwujudkan sepanjang program boleh terus menjana peluang baik melangkaui pameran itu sendiri,” katanya.
Program tiga hari itu juga, katanya bakal dipadatkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Big Bad Wolf Book Fair, AI Business Scale-Up Bootcamp, 5th Edition of CULT – Car Culture Festival 2026, Agro Forum and Trade Connect, persembahan fesyen, fotografi potret, Elite Presence Workshop, Royal & VVIP Protocol Workshop, Dining Etiquette Workshop, Esports dan pertandingan bakat serta banyak lagi.
Rosmawati berkata, pihaknya menyasarkan untuk membesarkan lagi BIGSABAH Sale kepada pasaran pengguna dan perdagangan yang diperakui di Timur ASEAN dengan mengambil contoh pameran antarabangsa lain seperti Canton Fair yang mana pembeli dan penjual kembali setiap tahun untuk membina hubungan perniagaan dan meneroka peluang pasaran baharu. – Info X