Search

Tersalah pijak pedal minyak, Myvi rempuh kedai dan kereta

September 29, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Tersalah memijak pedal minyak dipercayai menjadi punca sebuah Perodua Myvi meluncur ke hadapan sebelum merempuh premis perniagaan di Batu 3, Jalan Apas, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, pemandunya, lelaki tempatan berusia 60 tahun, baru selesai mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran dan mahu keluar dari petak parkir.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, siasatan awal mendapati pemandu berkenaan dipercayai tertekan pedal minyak ketika hendak menggerakkan kenderaannya.

“Kereta itu kemudian meluncur ke hadapan lalu melanggar sebuah premis perniagaan.

“Dalam keadaan panik, pemandu cuba mengundurkan kenderaan sebelum melanggar sebuah Toyota Innova yang diletakkan berhampiran,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Rosdi berkata, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk, namun pemandu Myvi berkenaan tidak mengalami kecederaan.

Katanya, ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu itu didapati negatif dadah, manakala ujian pernafasan turut dijalankan di Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Sarjan Mohd Hanafiah Mat Sari di talian 019-886 7715 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Rosdi berkata pengguna jalan raya, sama ada memandu kenderaan transmisi automatik atau manual, supaya memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Pemandu perlu memberi perhatian sepenuhnya ketika mengendalikan pedal minyak dan brek serta memastikan gear berada pada kedudukan betul sebelum menggerakkan kenderaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman di media sosial memaparkan Myvi berkenaan merempuh sebuah premis sebelum mengundur dengan laju dan melanggar kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir. – Info X