SEMPORNA: Seramai enam pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Op Cegah Jenayah Pondohan secara bersepadu membabitkan penempatan di perairan laut Sangaban.
Operasi yang dijalankan pada 20 hingga 21 Jun lalu itu membabitkan pemeriksaan sebanyak 295 buah rumah dan 95 orang di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi itu dilaksanakan dengan membabitkan 12 agensi penguatkuasa persekutuan dan negeri di daerah ini.

Katanya, lapan pegawai dan 22 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan 60 lagi daripada agensi penguatkuasa lain dengan kekuatan aset sebanyak sembilan buah bot.
“Operasi ini juga mendapat kerjasama penuh daripada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
“Tujuan utamanya adalah mengesan dan mencegah sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang iaitu penyeludupan, bom ikan, kemasukan PATI dan jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil operasi tersebut berjaya menahan enam PATI daripada pemeriksaan sebanyak 295 buah rumah dan 95 orang kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua tangkapan kemudian dibawa ke IPD Semporna untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Inigresen,” katanya.
Mohd Farhan berkata, pihaknya sangat menghargai komitmen tinggi yang diberikan oleh semua pihak dalam menjayakan operasi ini.
“Operasi berterusan dengan kolaboratif pelbagai agensi penguatkuasa akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang kegiatan yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara.
“Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melanggar perundangan negara,” katanya. – Info X