KOTA KINABALU: Seorang wanita ditahan polis malam tadi selepas dipercayai menceroboh kediaman pemain bola sepak Liga Super yang juga kekasihnya.
Sumber berkata, kejadian terbabit dikatakan berlaku baru-baru ini dan kes itu juga turut membabitkan kehilangan barang berharga.
Katanya, wanita berusia 37 tahun berkenaan ditahan selepas lelaki terbabit yang juga bekas pemain kebangsaan membuat laporan polis pada Sabtu lalu.
“Wanita itu sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu hari ini berhubung laporan yang dibuat pemain berkenaan.
“Pemain terbabit mendakwa kekasihnya itu menceroboh rumahnya sekali gus menyebabkan kehilangan telefon bimbit,” katanya.
Kata sumber itu lagi, wanita terbabit adalah individu yang mendakwa dirinya dicederakan pemain itu di sebuah hotel di Petaling Jaya baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi berkata kes berkenaan masih dalam siasatan dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas siasatan. – Info X